KOLABORASI INOVASI: PERPUSTAKAAN MDB SEBAGAI LOKASI PELAKSANAAN PROJEK KIK KOLEJ KOMUNITI BAU
Disiarkan pada 14 Jan 2026
Sumber Berita: Facebook Majlis Daerah Bau
14 Januari 2026 - Satu sesi perbincangan telah diadakan hari ini di antara pihak Perpustakaan Majlis Daerah Bau (MDB) bersama wakil daripada Kolej Komuniti Bau. Fokus utama perbincangan adalah mengenai penggunaan fasiliti Perpustakaan MDB sebagai lokasi rasmi bagi pelaksanaan Projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) oleh pihak kolej.
Inisiatif ini mendapat sokongan penuh daripada Setiausaha Majlis Daerah Bau, Encik Ong Ching Ping. Beliau menyatakan kesediaan pihak Majlis untuk menyediakan ruang dan kerjasama teknikal bagi membolehkan projek inovasi ini dijalankan di perpustakaan kami.
Melalui penyediaan tapak projek ini, Encik Ong Ching Ping berharap hasil inovasi daripada Kolej Komuniti Bau tersebut bukan sahaja membantu mencapai objektif KIK mereka, malah dapat memberi nilai tambah kepada kualiti perkhidmatan perpustakaan serta memberi impak positif kepada para pengguna di daerah Bau.
Terima kasih kepada Kolej Komuniti Bau atas kepercayaan memilih Perpustakaan MDB sebagai rakan kerjasama dalam merealisasikan projek inovasi ini. Semoga kolaborasi pintar ini membuahkan hasil yang bermanfaat demi pembangunan komuniti setempat.