picture

Sejarah Majlis Daerah Bau

 

Sejarah Majlis Daerah Bau




Sejarah penubuhan Pihak Berkuasa Tempatan seluruh Sarawak adalah di bawah Ordinan Kuasa Tempatan 1948, (Local Authorities Ordinance 1948) di bawah pemerintahan Kerajaan British. Dengan adanya Ordinan tersebut, penggubal undang-undang tempatan (Law Makers) memberi kuasa kepada Governor untuk menubuhkan satu badan yang digelar Pihak Berkuasa Tempatan (Local Authority) atau ada juga yang digelar "Local Council'. Semua Pihak Berkuasa Tempatan melaksanakan kuasa masing-masing yang telah diperuntukkan di bawah Ordinan tersebut dan diberikuasa untuk menggubal Undang-Undang Kecil yang digelar "Local Council By-Laws" yang mana harus dipatuhi oleh semua penduduk tempatan di bawah budang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan tertentu. 

Penubuhan Majlis Daerah Bau telah dirancangkan dalam tahun 1955 di bawah Artikel 5, Ordinan Kuasa Tempatan 1955 di bawah bidang kuasa Kerajaan British ketika itu dan telah mengadakan mesyuarat pertama secara informalpada 31 Oktober 1955 yang dipengerusikan oleh Mr. G. Lloyd Thomas yang juga Pegawai Daerah ketika itu. Mesyuarat tersebut telah diadakan di Pejabat Daerah Bau sebagai satu persediaan penubuhan rasmi Majlis Daerah Bau. 

Tujuan mesyuarat ialah untuk membincangkan pelbagai perkara seperti by-laws, anggaran, standing orders, cara pemilihan, dan banyak lagi sebelum Majlis Daerah Bau ditubuhkan secara rasminya pada 1 Januari 1956. Setelah penubuhannya nanti Majlis Daerah Bau akan dianggotai oleh 13 orang ahli yang mewakili 3 suku kaum utama yang ada di Daerah Bau iaitu; Cina, Melayu dan Dayak. Selain itu, 2 orang ahli yang akan mewakili kaum minoriti juga akan dilantik oleh pihak Kerajaan dan pada masa yang sama akan menjaga kepentingan mereka yang dari kaum minoriti. 15 orang ahli ini akan dilantik untuk menjalankan tugas Majlis sehingga ahli-ahli baru dipilih dan dilantik kelak.

Mesyuarat kedua menyusuli pada 21 Disember 1955 dan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Mr. D.W. Rowbotham yang kemudiannya menjadi Pengerusi Majlis Daerah Bau yang pertama. Dalam mesyuarat kedua ini, 3 jawatankuasa telah ditubuhkan iaitu; 1. FinanceCommittee, 2. General Purposes Committee dan 3. Education  Committee. Draft  Constitution yang dibentuk pada mesyuarat pertama juga telah dilulus oleh H.E. theGovernor dengan beberapa pindaan. Begitu juga dengan perlantikan Ahli-Ahli Majlis telah mendapat pengesahan daripada H.E. the Governor.

Mesyuarat pertama Majlis Daerah Bau selepas penubuhannya ialah pada 10 Januari 1956 di Pejabat Majlis yang dipengerusikan oleh Mr. D.W. Rowbotham dan 15 orang Ahli-Ahli Majlis yang hadir terdiri daripada; Mr. Ong Guan Cheng, Mr. Lo Foo Nam, Mr. Bong ShaoFui, Mr. Liew Nyan Foo, Mr. Liew Nam Khin, Mr. Ng Kui Hiung, Mr. Ahmat Paidin bin Dempek, Tua Kampung Johari bin Sunchar, Tua Kampung Bijut P Rikip, Tua Kampung Ngolam Pa Moin, Orang Kaya Pemancha Malam anak Kuah, Orang Kaya Nyaran Pa Ringgin dan Orang Kaya Ngaeng Pa Nyukim. Ahli Majlis yang tidak hadir ialah Mr. Atin anak Koaw (sakit). Setiausaha Majlis pada masa itu ialah Mr. Chia Kui Chai. Turut hadir dalam mesyuarat ialah Mr. Lo Yik Fong Pegawai Tadbir Sarawak (Sarawak Administrative Officer).