Greater Bau for All
Siaran Akhbar, 24 June 2025
Zoo Persendirian Pertama Sarawak Bakal Dibuka Di Bau. Sarawak bakal mencipta sejarah dengan pembukaan zoo persendirian pertama di negeri itu, yang dijadualkan dibuka dalam tempoh tiga tahun di Bau. Projek ini merupakan sebahagian daripada pembangunan Tasik Biru Resort City, dikendalikan oleh Tecktonic & Sons Holdings Sdn Bhd. Menurut Pengarah Urusan syarikat tersebut, Lee Chin Teck, mereka kini sedang dalam proses mendapatkan lesen zoo daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC). Tambah menarik, permohonan mereka dikatakan sebagai yang pertama di negeri ini.
Siaran Akhbar, 24 June 2025
AU, 15 Mei: Projek naik taraf jalan dari Bau ke Kuching kini sedang dilaksanakan dengan penuh komitmen sebagai salah satu usaha strategik Kerajaan Negeri Sarawak memperkukuh infrastruktur asas. Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep berkata, ia sekali gus menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi dan sosial di Daerah Bau serta kawasan sekitarnya. Menurutnya, jalan yang menghubungkan dua bandar utama itu akan dinaik taraf dari laluan satu lorong kepada dua lorong bertujuan meningkatkan keselamatan, kelancaran lalu lintas dan memendekkan masa perjalanan. “Kami menyedari keperluan untuk menambah baik infrastruktur yang amat diperlukan antaranya adalah menaik taraf Jalan Bau-Kuching daripada laluan satu lorong (single carriageway) kepada dua lorong (dual carriageway). Fasa pertama kini sedang dalam proses pembinaan manakala fasa kedua akan dijalankan tidak lama lagi. “Dengan jarak kira-kira 35 kilometer, Jalan Bau-Kuching bukan sahaja penting sebagai laluan penghubung utama antara pusat pentadbiran daerah dan ibu negeri tetapi juga menjadi nadi penggerak ekonomi bagi sektor perdagangan, pelancongan, dan perindustrian.” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru dan Tasik Biru Resort City, di sini, hari ini. Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata, naik taraf jalan tersebut membolehkan pergerakan kenderaan lebih lancar dan selamat terutama bagi kenderaan berat dan pengangkutan barangan yang selama ini menghadapi cabaran kesesakan dan keadaan jalan yang kurang memuaskan. Selain aspek ekonomi katanya, projek tersebut memberi fokus kepada keselamatan jalan raya melalui reka bentuk yang memenuhi piawaian antarabangsa serta memasukkan kemudahan tambahan seperti lorong kecemasan, sistem pengurusan trafik pintar,dan pencahayaan jalan lebih baik. “Ia bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan memastikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa untuk semua pengguna jalan,” ujarnya. -TVS untuk bacaan selanjutnya sila klik https://www.tvsarawak.my/2025/05/15/kerja-naik-taraf-jalan-bau-kuching-giat-dijalankan/
Siaran Akhbar, 24 June 2025
29-30 April 2025 - Pertandingan badminton tertutup antara seksyen Majlis Daerah Bau anjuran Kelab Sukan Dan Rekreasi MD Bau berlangsung dengan penuh semangat di Dewan SJK Chung Hua Bau. Sebanyak empat pasukan telah bertanding di mana ahli-ahli pasukan adalah terdiri daripada kakitangan Majlis. Pertandingan ini telah diketuai oleh Tuan Setiausaha Majlis Daerah Bau, En. Ong Chin Ping. Pertandingan seumpama ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, namun juga dapat mengeratkan hubungan antara pegawai dan kakitangan Majlis di samping mempromosikan gaya hidup sihat di dalam jabatan.
Siaran Akhbar, 24 June 2025
KUCHING: Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau dan perasmian Tasik Biru Resort City pada Mei depan bakal menjadi detik bersejarah buat warga Bau. Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep berkata, ini kerana dua acara penting itu melambangkan simbol kemajuan seimbang antara pembangunan fizikal dan pemeliharaan nilai budaya serta identiti tempatan. "Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru 2025 yang dinanti-nantikan bakal berlangsung dari 15 hingga 25 Mei disusuli perasmian Tasik Biru Resort City. "Tasik Biru Resort City akan menjadi mercu tanda pembangunan baharu yang berpotensi menjadi pemangkin utama kepada sektor pelancongan, ekonomi tempatan dan pembangunan komuniti di Bau," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur I di sini, hari ini. Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru berkata, perasmian tiga acara penting itu iaitu Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru 2025 dan Tasik Biru Resort City akan diadakan serentak pada 15 Mei dan dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Majlis perasmian katanya, akan diadakan di Pentas Utama Tasik Biru Resort City bermula jam 10 pagi. "Pesta ini dijangka menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara. Pelbagai acara menarik dirancang untuk diadakan sepanjang 11 hari penganjuran, antaranya pertandingan Jong Regatta. "Jong Regatta adalah acara ikonik yang mengangkat warisan dan keunikan masyarakat berbilang kaum di Bau," jelasnya. Selain itu katanya, beberapa acara lain bakal diadakan sepanjang sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau iaitu Karnival Sukan Bau (bola sepak, e-sukan, badminton), Pertandingan Gusti Lengan, Memasak Tradisional, Zumba, Talent Night serta Miss & Mrs Tasik Biru. Henry berkata, satu lagi detik penting bakal berlaku sempena sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau ialah pelancaran lampu di Jambatan Tasik Biru dan persembahan bunga api. Sepanjang tempoh pesta ini juga tambahnya, Bazar Gawai Bau akan beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 11 malam, menampilkan pelbagai produk kraf tangan, makanan tempatan dan pelbagai barangan komuniti. Beliau berkata, bagi memeriahkan lagi suasana malam di Tasik Biru Resort City persembahan hiburan rakyat, busking dan acara pentas turut diadakan. "Sebagai ADUN Tasik Biru, saya amat berbangga dengan komitmen semua pihak dalam merealisasikan penganjuran berskala acara berskala besar ini. "Pembangunan Tasik Biru Resort City bukan sekadar menambah nilai sektor pelancongan Sarawak, tetapi turut memperkukuh pembangunan ekonomi setempat untuk menfaat rakyat secara keseluruhannya," ujarnya. Hadir sama ADUN Dato Lo Khere Chiang, Pengarah Urusan Tecktonic & Son Holdings Sdn Bhd Lee Chin Teck serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.
Siaran Akhbar, 24 June 2025
BAU, 15 Mei: Daerah Bau yang rasmi diiktiraf sebahagian daripada Geopark Kebangsaan menonjolkan keistimewaannya dari segi geologi, sejarah dan budaya, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Premier Sarawak itu berkata pengiktirafan tersebut menjadikan Bau sebagai aset alam semula jadi yang luar biasa, bukan sahaja dari segi nilai saintifik, tetapi juga sebagai sumber pendidikan dan pembangunan mampan. “Kedua, Bau mempunyai kawasan yang telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Geopark Kebangsaan. Nilai geologi dan warisan bumi di kawasan ini sangat unik dan mendapat perhatian ramai saintis yang melihatnya sebagai aset berharga dari segi geologi. “Dengan keunikan formasi batu kapur yang dramatik, gua-gua yang misteri, serta lembah-lembah subur, kawasan ini menjadi medan kajian saintifik yang menarik minat pakar geologi dari dalam dan luar negara,” atanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-205 Daerah Bau, Pesta Tasik Biru dan Tasik Biru Resort City, di sini, hari ini. Jelas Abang Johari nilai “earth heritage” atau warisan di wilayah ini menjadi daya tarikan tersendiri yang dapat meningkatkan imej Bau sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia. Selain aspek geologi, kata Abang Johari, geopark ini juga membuka ruang untuk penglibatan komuniti setempat dalam memelihara dan mempromosikan alam sekitar. “Aktiviti-aktiviti eko-pelancongan seperti penerokaan gua, trekking, dan pendidikan alam sekitar dapat dijalankan secara berterusan dan mampan, sekaligus memberi manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan.” Tambah beliau lagi. Beliau mengharapkan geopark ini dapat menjadi pusat pendidikan dan pelancongan berimpak tinggi yang bukan sahaja meningkatkan ekonomi tempatan tetapi juga memupuk kesedaran dan penghargaan terhadap alam sekitar di kalangan masyarakat. – TVS
Siaran Akhbar, 23 June 2023
BORANG KAJI SELIDIK KEPUASAN PELANGGAN MAJLIS DAERAH BAU (ATAS TALIAN) KLIK SINI UNTUK MENGAMBIL KAJI SELIDIK TERIMA KASIH.