Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Menu Utama Menegak

Kompleks CIQ baharu dibangunkan di Serikin, tingkat kawalan keselamatan dan perdagangan dua hala
Tarikh : 02 Mar 2020  Sumber Berita: Utusan Sarawak Online
 

BAU: Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang baharu akan dibangunkan di Serikin dalam usaha memperketatkan kawalan keselamatan pada masa sama meningkatkan perdagangan dua hala antara Sarawak, Malaysia dan Kalimantan Barat, Indonesia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kompleks CIQ yang baharu itu akan dibangunkan berhampiran pos kawalan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sempadan negara antara Sarawak dengan Kalimantan Barat, menggantikan kompleks CIQ sedia ada.

Beliau berkata wujud keperluan membina Kompleks CIQ di lokasi baharu memandangkan kompleks sedia ada terletak kira-kira 4 kilometer dari sempadan negara (Sarawak -Kalimantan Barat) menyebabkan wujud kelemahan khususnya dari aspek keselamatan.

Tambahnya kos pembinaan kompleks berkenaan yang dianggarkan bernilai RM10 juta perlu dibangunkan segera iaitu pembinaannya akan bermula tahun ini.

"Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, jumlah perdagangan antara Sarawak dan Kalimantan Barat melalui Serikin meningkat sepuluh kali ganda dengan nilai dagangan RM40 juta, ini termasuk perdagangan tidak berdaftar atau haram.

"Oleh sebab itu dari sudut keselamatan, kerajaan negeri memutuskan tempat ini mempunyai kemudahan-kemudahan yang lengkap, sementara kita menggalakkan perdagangan dua hala yang positif. 

"Kita telah mencadangkan (kompleks) CIQ baharu dibangunkan tidak jauh dari (pos) tentera, berhampiran sempadan. Apabila siap nanti, kita akan menempatkan pegawai polis, kastam dan imigresen, di samping membina jalan penghubung yang lebih dekat dari Serikin ke sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Kompleks CIQ yang baharu di Serikin, dekat sini, hari ini.

Abang Johari mendedahkan, kira-kira 20 peratus daripada nilai dagangan (RM40 juta) adalah dalam bentuk aktiviti haram dan penyeludupan.

Menjelas lanjut, beliau berkata ketika ini pihak berkuasa Sarawak tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undangnya yang berlaku di Pekan Serikin kerana kedudukannya selepas Kompleks CIQ sekarang.

"Inilah dilema yang kita hadapi sekarang dan untuk mengatasi masalah kita telah mengadakan kolaborasi di bawah Sosek Malindo (Sosial Ekonomi Malaysia Indonesia).

"Saya akan mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Keselamatan Negeri dalam waktu terdekat ini bagi membincangkan bagaimana untuk membangunkan kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti. Ini projek yang agak mendesak, harus dibangunkan, saya tegaskan lagi, untuk keselamatan," ujarnya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasil Biru Datuk Henry Harry Jinep; ADUN Serembu Miro Simuh; Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha; Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, Datu Ken Leben dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Abdullah Julaihi.