Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 11 Dis 2019
Versi 8.2.2

Menu Utama Menegak

Operasi anti-rabies dipertingkat tahun depan - Uggah
Tarikh : 02 Oct 2019  Sumber Berita: Utusan Sarawak Online
 

UCHING: Aktiviti memvaksin anjing yang belum pernah menerima suntikan vaksin serta mengurangkan jumlah anjing terbiar akan ditingkatkan tahun hadapan dalam operasi anti-rabies seluruh Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata dalam enam operasi setakat ini, kadar kejayaan suntikan hanya 61.49 peratus daripada anggaran 200,000 ekor anjing.

“Begitu juga hanya 7,584 anjing terbiar dan 73 kucing terbiar telah berjaya dikeluarkan,” katanya selepas mesyuarat memperincikan persediaan untuk operasi seterusnya iaitu dalam siri ketujuh di sini, hari ini.

Operasi yang berlangsung dari 4 hingga 15 Oktober itu akan meliputi kawasan Dalat, Matu Daro, Mukah, Bintulu, Tatau dan Belaga.

Menurut Uggah, dua tujuan utama bagi keseluruhan operasi itu adalah untuk mencapai 100 peratus kadar kejayaan pemvaksinan anjing dan sasaran penyingkiran anjing liar atau terbiar.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat mencapai kedua-dua objektif ini. Jadi bermula tahun depan, kita akan mengadakan Program Vaksinasi 2020 melibatkan peningkatan operasi bagi memastikan kadar kejayaan operasi vaksin kita meningkat kepada 70 peratus," katanya.

Uggah menambah, pihaknya juga akan membuat pengumpulan data mengenai anjing yang disimpan sebagai haiwan peliharaan.

"Kita berhasrat untuk meningkatkan pengurusan pemilik haiwan peliharaan.

"Saya harap majlis-majlis bandar raya berkenaan akan menguatkuasakan peraturan yang ada untuk menjaga haiwan peliharaan," kata beliau.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, jika ada satu perkara yang menimbulkan tanda tanya baginya ialah insiden tinggi bagi kes gigitan anjing di negeri ini.

"Menurut perangkaan rasmi pada purata, terdapat kira-kira 300 kes gigitan anjing setiap minggu.

"Saya tertanya-tanya sama ada angka yang tinggi itu hanya berlaku di negeri ini. Mungkin Jabatan Kesihatan boleh menjelaskan perkara ini kepada kita,” ujarnya.

Sementara itu, Uggah gembira melihat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik pembangkang sekarang telah mula memberi sokongan kepada operasi tersebut.

Tetapi ada beberapa orang yang masih ragu-ragu dan berprasangka.

"Sebenarnya, masalah terbesar kita adalah pergerakan anjing di sempadan kami.

"Kita tidak boleh memantau atau mengawalnya dengan berkesan memandangkan sempadan kita yang sangat panjang," katanya sambil menambah Bahagian Miri akan menjadi lokasi terakhir untuk operasi kelapan seterusnya.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr.Sim Kui Hian; Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri, Jabatan Ketua Menteri Dato Dr. Chai Khin Chung; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Dr. Adrian Susin Ambud dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Datuk Dev Kumar.